SPRINGFIELD, Illinois – Seorang lelaki di negeri Illinois, Amerika Syarikat berdepan ‘mimpi ngeri’ apabila mata gerudi yang digunakan oleh doktor gigi semasa melakukan rawatan didapati memasuki dan melekat pada paru-parunya selama beberapa hari, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Tom Jozsi, 60, mendapatkan rawatan pergigian pada bulan ini, namun dia tiba-tiba diberitahu bahawa telah tertelan mata gerudi.
Berdasarkan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT), Jozsi tidak menelan alatan itu, sebaliknya menyedutnya sehingga menyebabkan mata gerudi tersebut memasuki bahagian paru-paru.
“Saya tidak menyedari langsung mata gerudi itu masuk ke dalam (paru-paru). Saya cuma batuk-batuk,” katanya.
Pakar paru-paru pada awalnya cuba membawa keluar peralatan itu menggunakan skop biasa, namun mendapati ia tersangkut terlalu dalam pada paru-paru Jozsi.
Situasi itu membimbangkan Jozsi kerana doktor memberitahu bahawa sebahagian daripada paru-parunya mungkin perlu dibuang sekiranya mata gerudi itu gagal dikeluarkan.
Ketika dia mula mengalami batuk berdarah, doktor enggan bertangguh lagi dan melakukan persediaan untuk menjalankan pembedahan ke atas lelaki itu.
Nasib pekerja penyelenggaraan itu bagaimanapun amat baik kerana pakar pulmonologi, Dr. Abdul Hamid Alraiyes dan pasukannya berjaya menemui cara kreatif untuk mengeluarkan mata gerudi tersebut.
Mereka menggunakan bronkoskopi robotik yang kebiasaannya digunakan untuk mengesan nodul kanser paru-paru yang kecil bagi mengeluarkan alat tersebut dalam prosedur selama 90 minit.
Jozsi akhirnya terselamat dan kini telah pulih sepenuhnya. – Agensi