SINGAPURA – Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) dari Malaysia dihukum gantung sampai mati di pusat tahanan Singapura, awal pagi ini.
Kematian Nagaenthran K. Dharmalingam disahkan oleh adiknya, Sarmila Dharmalingam selepas rayuan terakhir defendan ke atas hukuman tersebut ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura, semalam.
Nagaenthran didapati bersalah atas kesalahan mengedar heroin di republik itu pada 2009 apabila ditahan dengan dadah jenis heroin seberat hampir 43 gram semasa cuba memasuki Singapura.
Mendiang kemudiannya dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun berikutnya, namun berjaya ditangguh sehingga 2022 menerusi beberapa siri rayuan dan petisyen yang dilakukan oleh pihak peguam bela.
“Kami sekeluarga masih sukar mempercayai kerajaan Singapura tetap meneruskan hukuman mati ke atas abang saya meskipun terdapat banyak rayuan dari pelbagai pihak di peringkat antarabangsa untuk menghentikannya.
“Kematian Nagaenthran amat menyedihkan dan kami masih terkejut dengan kejadian ini,” ujar Sarmila.
Singapura adalah antara negara di dunia yang sangat tegas dalam pelaksanaan hukuman yang membabitkan kesalahan penggunaan dan pengedaran dadah. – AFP