SPRINGFIELD, Illinois – Seorang lelaki terkejut apabila menemui set hidangan restoran makanan segera McDonald’s yang berusia 60 tahun di dalam dinding tandas rumahnya, lapor akhbar Daily Star UK kelmarin.
Penemuan itu diceritakan oleh pengguna laman Reddit yang dikenali sebagai Rob. Menurutnya, dia menjumpai makanan tersebut ketika melakukan kerja pengubahsuaian tandas rumah.
“Saya dan isteri sedang mengubah suai dapur dan bilik mandi kami. Semasa menanggalkan lekapan di bilik mandi, saya melihat sehelai kain tersangkut di belakang plaster dan menariknya keluar.
“Apabila saya membukanya dan menemui beg kertas lama McDonald’s bersama kentang goreng, kami sangat terkejut dan dalam masa sama, lega kerana tidak menemui barangan lebih aneh,” kata Rob.
Menurut lelaki itu, kediamannya dibina pada tahun 1959 dan terletak sangat dekat dengan lokasi restoran McDonald’s pertama di kawasan itu yang dibuka pada tahun 1955.
“Apa yang saya hairan adalah tiada bau busuk atau kesan cakaran tikus pada set hidangan itu. Ia penemuan yang sangat pelik dan perlu dikongsi,” katanya. – Agensi