fbpx

Kurang popular, Wani Kayrie enggan mengalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANI KAYRIE

KEHADIRAN penyanyi genit kelahiran Negeri Di Bawah Bayu, Sabah ini bukan baru sehari dua.

Kalau dihitung sedari awal melangkah masuk ke dunia seni, sudah lebih sedekad lamanya kelana Wani Kayrie bermula dengan karier nyanyian ketika zaman kanak-kanak.

Sayangnya, tempoh sedekad dalam genggam si manis asal Sandakan itu belum terikat akrab bersama populariti.

Entah di mana dan apa silapnya, Wani sendiri tidak tahu, seringkali dia tertanya-tanya apa lagi yang harus dilakukan untuk menguatkan pengaruhnya.

Mengakui kehadirannya belum cukup menyerlah dan namanya belum meledak jika dibanding rakan-rakan seangkatan, Wani percaya akan ada waktu yang tepat buatnya.

Ditemui HibGlam pada majlis tayangan program Aidilfitri Astro Jumaat lalu, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdulla ternyata seorang yang optimis.

Janji Wani, dia akan terus berusaha keras mencipta nama selagi mana bakatnya diperlukan.

Usaha lebih

Berkongsi lanjut, Wani yang memang cukup dikenali dengan semangat juang tinggi, selain berdisiplin dalam kariernya menegaskan dia bukan jenis cepat mengalah.

WANI akui hingga kini namanya masih belum cukup dikenali ramai berbanding rakan seperjuangan yang sama-sama membina nama dalam dunia seni. Foto AZRUL RAFIE & INSTAGRAM WANI KAYRIE

“Kalau ikutkan, perjalanan seni saya sebenarnya masih jauh dan banyak lagi benda yang perlu saya pelajari dan lakukan demi bergelar anak seni.

“Saya juga akui, nama saya belum cukup dikenali ramai walaupun sudah lebih sedekad berada dalam industri.

“Tapi itu bukan alasan untuk saya berhenti apatah lagi mengalah.

“Saya percaya, berkat kesabaran dan kerja keras berterusan yang saya lakukan ini pasti akan terbalas selain membuahkan hasil satu hari nanti,” katanya.

Jelas Wani lagi, dia tidak mahu terlalu mengejar populariti kerana mahu meletakkan bakat yang dimilikinya sebagai keutamaan.

“Terkenal atau tidak terkenal itu nombor dua. Kerana apa yang saya tahu, saya tak mahu terus terbeban disebabkan terlalu memikirkan soal populariti.

“Pernah saja saya fikirkan tentang populariti, tetapi benda itu ternyata mematahkan semangat untuk saya terus berjuang dalam kerjaya yang saya cintai,” ujarnya.

Kolaborasi, unik

Bercerita lanjut, penyanyi yang membina nama menerusi lagu hit Jangan Jangan itu baru saja tampil dengan sebuah lagu raya berjudul Semangat Lebaran Kita.

Menariknya, lagu duet bersama penyanyi dan komposer muda, Yonnyboii itu disifatkan sebagai satu kerjasama berharga buat dirinya.

“Alhamdulillah sekali lagi saya diberikan kepercayaan oleh syarikat label, Rocketfuel untuk tampil dengan sebuah lagu raya istimewa bersama Yonnyboii.

“Lagu ini mengisahkan kejayaan dan kegembiraan rakyat di negara ini menyambut Aidilfitri dalam era endemik setelah lebih dua tahun terpaksa beraya tanpa keluarga tercinta di kampung halaman,” ceritanya.

WANI teruja kerana dapat bekerjasama dengan rakannya Yonnyboii menerusi lagu raya berjudul Semangat Lebaran Kita.

Berkongsi sedikit mengenai proses rakaman, lagu hasil ciptaan komposer Amy Bong itu hanya memakan masa tidak sampai sehari disiapkan di dalam studio.

Menariknya, lagu berentak pop moden tersebut hadir dalam rentak yang jauh berbeza berbanding dengan lagu-lagu raya yang pernah didengar sebelum ini.

“Genre alternatif pop moden yang diketengahkan diserikan lagi dengan petikan instrumen muzik jenis akordion yang jarang kedengaran sekarang menambahkan lagi dinamik komposisi lagu ini.

“Anda semua kena dengar lagu ini dan wajib tonton video muzik (MV) yang sudah dilancarkan dalam YouTube diselitkan dengan sebuah sketsa pendek berkonsepkan kemeriahan suasana pagi raya,” katanya.

WANI bersyukur rezekinya terus ada dan terbaharu dilantik Astro sebagai duta Ramadan-Raya 2022.

Sebelum menutup bicara, Wani sempat berkongsi tentang rencana sambutan Aidilfitrinya tahun ini.

Seperti perantau di kota yang lain, Wani juga akan pulang ke negeri kelahirannya selama dua minggu bermula 2 Mei nanti bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, saya akan pulang beraya ke Sabah selama dua minggu.

“Masa dan peluang yang ada ini juga akan saya gunakan sebaik mungkin.

“Lagipun inilah masa yang saya ada untuk berehat seketika daripada kerja-kerja seni selain pengajian yang masih berbaki,” tuturnya seraya menoktahkan baris kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI