fbpx

Kontraktor didakwa atas 33 pertuduhan palsukan dokumen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 33 pertuduhan memalsukan dokumen bagi mendapatkan tender kepada empat syarikat pembinaan miliknya, lima tahun lalu.

Tertuduh, Azlinda Abd Aziz, 45, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan dihadapan HakimDatuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Azlinda (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bharu hari ini. – Foto RAJA JAAFAR ALI

Berdasarkan 30 kertas pertuduhan , dia didakwa memalsukan dokumen Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) dan Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat Bumiputera KKM atas nama tiga syarikat dengan niat dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Manakala baki tiga pertuduhan lagi, tertuduh didakwa memalsukan dokumen Sijil Perakuan Pendaftaran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Sijil Perolehan Kerja Kerajaan CIDB Malaysia dan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera Pusat Khidmat Kontraktor Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Ketiga-tiga sijil berkenaan tidak wujud dan tidak diiktiraf oleh CIDB dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Tertuduh yang juga merupakan seorang ibu tunggal itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara November 2017 hingga Oktober 2019 di Unit Perolehan Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Azlinda didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan juga denda.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dayang Masneh Deh manakala tertuduh diwakili peguam, Matthews Jud dan Omar Kutty Maiadr.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diberi jaminan RM23,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Ahmad Kamal Ariffin turut menetapkan tarikh 30 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI