Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mahu jadikan Guangzhou FC sebagai mangsa lepas geram selepas kekalahan terburuk 0-5 di tangan Kawasaki Frontale Ahad lalu.
Menurut Mora, Harimau Selatan bukan sahaja perlu menang perlawanan itu, malah menjaringkan gol sebanyak mungkin bagi memberi kelebihan buat JDT dari segi perbezaan jaringan.
Beliau berkata, Guangzhou yang sudah bolos 21 gol menerusi empat perlawanan pasti tidak mahu mereka terus diaibkan dan cuba melakukan lebih daripada sekadar pulang dengan tangan kosong.
“Saya rasa pasukan mampu memberikan aksi terbaik ketika berdepan pasukan yang pernah kita kalahkan sebelum ini, namun Guangzhou juga turut mahu menjaga air muka mereka untuk tidak dibolosi lagi.
“Jadi, pada perlawanan itu, adalah penting untuk pasukan lebih agresif dan menjaringkan gol pada minit awal permainan. Selepas itu, barulah kita memburu gol sebanyak mungkin,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) semalam.
Katanya, siapa pun pemain yang akan diturunkan, mereka pasti dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik untuk memastikan tiga mata berada dalam genggaman Harimau Selatan.
“Kita mempunyai skuad yang besar terdiri daripada pemain import, pemain berpengalaman termasuk pemain muda. Jadi, kita akan memberi peluang kepada yang berada di prestasi terbaik untuk turun beraksi.
“Saya yakin pemain yang akan disenaraikan dalam kesebelasan utama nanti mampu melaksanakan tugas dengan baik. Guangzhou pastinya akan terus pamer corak bertahan, kita akan cuba cari jalan bagi meruntuhkan benteng pertahanan mereka.
“Ketika ini, kita terikat dengan Ulsan Hyundai FC dengan tujuh mata, jadi kami perlu mengutip enam mata dalam dua perlawanan ini, selepas itu barulah kita akan lihat peluang untuk layak,” ujarnya.
Dalam pada itu, penjaga gol, Farizal Marlias memberitahu, persiapan pasukan berada di tahap terbaik dan tidak sabar untuk beraksi bagi menuai tiga mata.
“Kita masih ada peluang untuk layak dengan syarat mesti menang semua baki perlawanan menentang Guangzhou dan Ulsan Hyundai. Kami bertekad untuk melakukan tugas ini sebaik mungkin,” katanya.