PETALING JAYA – Jamuan raya serta aktiviti ziarah pada Hari Raya Aidilfitri dibenarkan tahun ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, orang ramai masih digalakkan untuk memakai pelitup muka ketika tidak menjamu juadah yang disediakan.
“Individu bergejala tidak digalakkan untuk menyertai himpunan beramai ketika aktiviti ziarah semasa perayaan Aidilfitri,” katanya dalam sidang akhbar sebentar tadi.
Tambah Khairy Jamaluddin, penganjuran rumah terbuka sempena perayaan Aidilfitri juga dibenarkan dengan syarat memakai pelitup muka bagi kesemua tetamu yang hadir. – KOSMO! ONLINE