PETALING JAYA – Imbasan kod QR MySejahtera tidak diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam.
Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang akhbar yang berlangsung sebentar tadi.
Khairy Jamaluddin bagaimanapun menyeru setiap individu untuk mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.
“Bagi individu yang mempunyai status ‘High Risk’ pada aplikasi MySejahtera selepas disahkan positif Covid-19 atau sedang dalam tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis,” katanya.
Menurut beliau, aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan Covid-19 dan arahan HSO. – KOSMO! ONLINE