PETALING JAYA – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini mengumumkan bantuan bersasar bagi meringankan beban peneroka yang terjejas dengan hasil tanaman getah dan juga bagi menghargai sumbangan pekerja ladang Felda.
Felda dalam satu kenyataan berkata, bantuan bersasar itu adalah dalam bentuk sumbangan duit raya berjumlah RM200 bagi peneroka getah yang menghantar hasil kepada Felda dan memperoleh pendapatan hasil kurang RM2,000 bagi bulan Mac 2022.
“Sumbangan duit raya dan barangan asas berjumlah sehingga RM200 pula akan diterima oleh pekerja ladang Felda di seluruh negara.
“Bayaran bagi sumbangan duit raya ini akan mula dibuat bermula 28 April 2022. Keseluruhan sumbangan duit raya ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.6 juta,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, Felda turut mengumumkan penangguhan potongan bayaran kembali peneroka getah bagi pendapatan bulan Mac 2022.
“Peneroka getah yang layak menerima penangguhan ini adalah mereka yang memperoleh pendapatan hasil bulan Mac kurang RM2,000.
“Bantuan bersasar ini merupakan manifestasi keprihatinan Felda terhadap peneroka getah yang menerima pendapatan kurang RM2,000,” jelasnya.
Katanya, diharapkan semoga bantuan itu akan dapat meringankan sedikit beban warga peneroka yang terjejas dan membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah. – KOSMO! ONLINE