KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengedarkan sebanyak 2,500 pek bubur lambuk bagi meraikan penumpang tren elektrik (ETS) sempena perayaan Aidilfitri, di sini semalam.
Program julung kali itu bermula seawal pukul 8 pagi di stesen Kuala Lumpur manakala pukul 2.40 petang di stesen Sentral Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, Rozita Ahmad berkata, program penyediaan dan edaran bubur lambuk bernas dan KTMB merupakan kolaborasi pertama di antara dua syarikat ini.
“Buat pertama kali, gabungan kakitangan bernas dan KTMB berjaya menghasilkan lebih 2,500 pek bubur lambuk yang menggunakan beras putih tempatan dan juga beras wangi.
“Kami harap semua penumpang dapat menikmati bubur lambuk istimewa kami ini sebagai juadah berbuka puasa nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd. Zain Mat Taha berkata, program pada hari ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim di antara dua organisasi, bahkan dapat berkongsi rezeki dengan penumpang yang sentiasa bersama kami.
“Kami mengucapkan selamat hari raya kepada yang meraikan, dan semoga perjalanan anda pulang dan kembali berjalan lancar, insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE