ALOR SETAR – Seramai 50 daripada 61 tahanan Rohingya yang lolos daripada Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu dekat sini memahami selok-belok negara ini sekali gus menyukarkan usaha memburu mereka.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, operasi mengesan baki tahanan itu terus dipergiatkan dengan memperluaskan kawasan pencarian.
Katanya, tahanan tersebut dipercayai masih berada di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan kawasan sekitar.
“Tiada penemuan setakat ini dan jumlah tahanan yang diburu kekal 61 orang.
“Tangkapan terakhir adalah di Pulau Pinang dan kita percaya mereka berada di sekitar Seberang Perai Selatan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi pencarian di kawasan hutan sudah meliputi lebih 90 peratus.
“Kalau kita tengok daripada 61 tahanan ini, kita dapati 50 orang itu adalah mereka yang sudah lama di sini dan tahu selok-belok di Malaysia.
“Mereka faham selok-belok dan tahu bagaimana dan ke mana nak pergi yang mana mereka ini agak sukar dikesan. Walau bagaimanapun pemburuan tahanan ini belum tamat,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan tahanan berkenaan turut dilindungi oleh rakan daripada etnik sama yang menetap di sini.
“Ada tahanan ini yang sudah menetap dua hingga tiga tahun serta pernah bekerja di sini sebelum ditangkap yang mana cara mereka lari ke Seberang Perai Selatan, tidak lari ke arah Bandar Baharu.
“Kita ada anggota daripada Cawangan Khas untuk membantu dan kita akan guna semua elemen,” jelasnya.
Tambahnya, siasatan ke atas dua daripada empat dalang yang ditahan telah dijalankan dan kes akan dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE