PETALING JAYA – Seramai 3000 usahawan tempatan dan 15,000 pekerja dalam industri rokok elektronik (vape) akan terjejas sekiranya cadangan larangan penjualan vape dilaksanakan.
Presiden Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) seharusnya memberi fokus kepada pelaksanaan peraturan yang telah lama tertangguh dan bukannya membuat cadangan baharu.
“Industri rokok elektronik kini berada dalam ketidaktentuan atas kegagalan KKM untuk mengutamakan pelaksanaan peraturan dan penyeliaan industri ini, kami seperti digantung tidak bertali.
“Walaupun kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan cukai untuk cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin mulai 1 Januari 2022 lalu, bagaimanapun kini telah tertangguh empat bulan kerana KKM enggan melaksanakan peraturan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Adzwan, KKM perlu memberikan keutamaan kepada pelaksanaan peraturan kawal selia industri rokok elektronik terlebih dahulu.
Sementara itu, MRECA menganggarkan kelewatan dalam melaksanakan peraturan kepada cecair rokok elektronik juga mengakibatkan kerajaan kerugian hasil kutipan cukai melebihi RM750 juta setahun.
“Ekoran penangguhan dan kelewatan pelaksanaan peraturan oleh KKM ini, dianggarkan kerajaan menanggung kerugian sekitar RM62 juta setiap bulan daripada kegagalan untuk mengutip cukai.
“Cadangan KKM untuk melarang penjualan vape bersama rokok walaupun kedua-dua produk tersebut adalah berlainan seumpama mengisytiharkan perang kepada industri tempatan rokok elektronik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Adwan juga berharap agar KKM tidak terburu-buru melaksanakan larangan tersebut kerana akan memberi tamparan hebat kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam industri tersebut. – KOSMO! ONLINE