NAIROBI, KENYA – Tiga beradik kembar seiras di Kenya menjadi perhatian ramai selepas mengaku bercinta dengan lelaki yang sama, malah ketiga-tiga mereka merancang untuk mengahwini jejaka tersebut, lapor laman Oddity Central kelmarin.
Cate, Eve dan Mary atau dikenali sebagai ‘Komrad Kembar Tiga’ bercinta dengan Bigman Stevo selepas ‘melamar’ lelaki itu untuk keluar bertemu janji dengan ketiga-tiga mereka.
Cate adalah yang pertama melihat Stevo dan memberitahu kepada adik-beradik kembarnya tentang lelaki itu.
“Saya pernah melihat Stevo di YouTube dan pada suatu hari, saya memberitahu Mary mengenainya. Dia mengaku menyukai Stevo dan ketika saya menunjukkan wajah Stevo kepada Eve pula, dia juga meminati lelaki itu,” kata Cate.
Pasangan kembar tiga itu kemudian jatuh cinta kepada Stevo selepas mereka keluar temu janji dan mengenalinya.
Mereka mengakui tidak pernah berasa cemburu kerana telah menyusun jadual bagi memastikan masing-masing mempunyai masa yang sama banyak untuk diluangkan bersama Stevo.
“Kami menyusun jadual supaya Stevo boleh keluar dengan kami pada hari Isnin, Selasa dan Rabu serta pada hari Jumaat kami keluar berempat.
“Syaratnya adalah dia perlu mencintai kami dengan sama rata dan melakukan yang terbaik untuk menyayangi kami dengan saksama,” kata kembar tersebut.
Sementara itu, Stevo berkata, dia menganggap dirinya menjalani hubungan poligami apabila bercinta dengan tiga wanita serentak.
“Saya percaya bahawa cinta saya bukan hanya milik seorang wanita. Saya dilahirkan untuk berpoligami dan semua orang mengetahuinya.
“Saya sentiasa jujur dan setia. Bekas-bekas kekasih meninggalkan saya kerana saya memberitahu mereka bahawa saya ingin menambah teman wanita baharu,” katanya. – Agensi