PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer, Asfan Shah mengakui sambutan Ramadan tahun ini lebih bermakna dan penuh kemanisan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Semuanya disebabkan dia kini mula mendalami ilmu agama bersama kumpulan jemaah tabligh beberapa bulan lepas.
Menurut Asfan atau nama sebenarnya, Norasfan Shah Shah Rudin, selama 38 tahun hidup, setiap kali Ramadan, masanya akan dipenuhi dengan urusan perniagaan sehingga mengabaikan ibadah pada bulan mulia itu.
“Saya rasa macam baru masuk Islam. Sebabnya, selama 38 tahun hidup, waktu bulan puasa saya akan sibuk dengan urusan perniagaan.
“Jadi, memang tidak ada masa untuk tunaikan solat sunat tarawih, manakala solat fardu pula sukar untuk dapat pada awal waktu.
“Ramadan tahun ini, saya banyak habiskan masa menghadiri undangan majlis-majlis yang menganjurkan solat tarawih.
“Saya cuba duduk dan tunggu waktu solat, bukannya waktu menunggu kita. Saya cuba terapkan perkara ini sepanjang Ramadan dan sangat bersyukur kerana dapat melakukannya,” ujar Asfan yang ditemui pada majlis iftar anjuran syarikat pengurusan MVM dan Rusa Music di Puchong, Selangor baru-baru ini.
Sementara itu, ketika disoal tentang hobi mengumpul barang berjenama Supreme, penyanyi yang popular dengan lagu Maafkan Aku itu menjelaskan, kebanyakannya sudah diberi kepada rakan-rakan dan ada yang telah dijual semula.
Tambah Asfan, melihat lambakan barangan berjenama tersebut di rumahnya, dia mengakui berasa takut dan mengakui khilafnya tentang hobi mahal yang tidak membawa sebarang faedah itu.
“Saya simpan barang-barang itu dalam satu kotak, ada yang dijual, diberi pada orang dan ada yang saya masih simpan seperti beg dan aksesori yang sukar diperolehi.
“Melihat barang-barang itu saya jadi takut dan mempersoalkan diri sendiri mengapalah sebelum ini beli barang-barang yang tidak guna dan tidak ada fungsi.
“Saya beli sekadar untuk menunjuk dalam Instagram dan beritahu orang kita ada barang Supreme. Silap diri saya sendirilah.
“Sebab kalau dikira-kira nilai barangan memang lepas buat ibadah umrah, dulu saya tidak pandai, tidak ada ilmu dan tidak terfikir untuk pergi menunaikan umrah,” jelas Asfan dalam nada kesal. – KOSMO! ONLINE