KUALA LANGAT – Taktik membawa masuk 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) pada awal pagi gagal selepas berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Tali Air, Banting di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi, kesemua PATI berusia 21 hingga 48 tahun dibawa masuk menggunakan bot selepas dipercayai mendapat isyarat lampu oleh individu yang diupah berjaga di pantai.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, berdasarkan pemeriksaan pihaknya bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mendapati lima daripada warga asing itu bersembunyi di dalam parit kampung tersebut.
Katanya, 14 lagi individu warga asing didapati bersembunyi di kawasan paya bakau berhampiran kawasan tersebut.
“Hasil siasatan awal mereka memasuki negara selepas mendapat isyarat lampu daripada ahli sindiket yang menjaga pantai.
“Kesemua PATI termasuk lima wanita itu membayar antara RM1,600 hingga RM2,500 kepada sindiket,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata beliau, siasatan juga mendapati mereka sedang menunggu perkhidmatan e-hailing bagi mengambil mereka yang diurus individu digelar sebagai penyambut pantai.
Ujarnya, hasil pemeriksaan kesemua warga asing berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut dibawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya. -KOSMO!ONLINE