PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang berlangsung hari ini mengambil beberapa langkah bagi menambah baik pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara langkah tersebut adalah kerajaan negeri diberi kelonggaran tambahan dalam penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian MARRIS) sebanyak RM5 bilion untuk tahun ini.
Menurut beliau, ia bagi membiayai kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian serta pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang, pembentung dan cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir termasuk di kawasan pihak berkuasa tempatan.
“Kerajaan Persekutuan amat prihatin ke atas situasi yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri pasca banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengkaji semula Pemberian MARRIS supaya peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Katanya, ia dapat dicapai dengan memperluaskan lagi skop perbelanjaan MARRIS untuk merangkumi penyelenggaraan jalan seperti yang di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian.
“Sehubungan itu, kerajaan Persekutuan bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan untuk meluaskan skop penggunaan Pemberian MARRIS,” katanya.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk meningkatkan peruntukan pindahan fiskal ekologi (EFT) daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.
“Insentif kewangan kepada kerajaan-kerajaan negeri ini adalah bagi meningkatkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan dan marin, kerajaan negeri akan diberi insentif kewangan,” katanya.
Selain itu, menurut beliau, turut dipersetujui adalah caruman sebanyak RM330 juta dalam Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP).
“Jawatankuasa akan ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membuat semakan semual formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan bagi Pemberian TAHAP,” katanya. – KOSMO! ONLINE