DUBAI – Seorang pekerja di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh majikan kerana menolak permohonan cutinya, lapor laman berita Gulf News.
Menurut Mahkamah Dubai, tertuduh berusia 23 tahun yang bekerja di sebuah garaj kereta di kawasan perindustrian Al Quoz, bertengkar dengan pengurusnya mengenai permohonan cuti.
Berang permohonan cutinya ditolak, tertuduh bertindak mengelar leher mangsa dengan pisau tajam dan memukul kepalanya dengan tukul besi.
Menurut laporan rasmi Polis Dubai, mangsa ditemui oleh pekerja lain dalam keadaan berlumuran darah dan defendan merupakan orang terakhir yang dilihat bersamanya.
Defendan pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai untuk meninggalkan negara itu tetapi tiada penerbangan tersedia ke lokasi yang diinginkan.
Dia akhirnya pergi ke pejabat kedutaan negara asal pada hari kedua untuk meminta bantuan meninggalkan Dubai tanpa menceritakan apa yang telah berlaku. Polis Dubai memberkas tertuduh di luar bangunan konsulat.
“Tertuduh bertengkar dengan mangsa kerana mahu pulang ke negaranya tetapi mangsa tidak bersetuju mengenai tarikh kepulangan yang diminta.
“Mangsa kemudian memecat tertuduh dan memintanya meninggalkan tempat itu. Defendan berasa malu dan hilang sabar,” demikian menurut laporan polis. – Agensi