IPOH – Lebih 4 juta kenderaan akan memasuki Perak melalui Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, limpahan kenderaan itu berlaku khususnya pada waktu puncak iaitu Sabtu dan Ahad ini.
Katanya, pengguna lebuh raya disaran mematuhi cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan semasa pulang beraya.
“Kita berharap pengguna mengambil berat aspek keselamatan semasa memandu selain sentiasa dalam keadaan tenang, tidak gopoh dan sabar.
“Dua tahun tidak pulang beraya, pasti ada satu perasaan teruja untuk balik ke kampung di mana ia juga mungkin menyebabkan mereka terlupa untuk patuh pada peraturan jalan raya,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2022 di sini.
Jelasnya, semua kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan di lebuh raya juga dihentikan bermula Jumaat ini sehingga 9 Mei depan bagi memastikan kelancaran trafik pada musim perayaan. – KOSMO! ONLINE