PYONGYANG – Hampir dua tahun pandemik Covid-19 melanda dunia, Korea Utara merupakan salah satu daripada dua negara di dunia termasuk Eritrea yang tidak melaksanakan sebarang program vaksinasi untuk menangani wabak tersebut.
Meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk menyalurkan bekalan vaksin buat negara komunis itu, kesemuanya menemui jalan buntu.
Tahun lepas, Pyongyang menolak tawaran dua juta dos vaksin AstraZeneca dan tiga juta dos Sinovac melalui program pengagihan vaksin antarabangsa COVAX.
Sebaliknya, Korea Utara meminta agar ia diberikan kepada negara-negara miskin lain yang lebih memerlukan.
Hampir 250,000 dos vaksin Novavax yang diperuntukkan untuk Korea Utara oleh COVAX telah dibatalkan awal tahun ini selepas tidak menerima sebarang maklum balas dari Pyongyang.
Pakar-pakar berkata, ketidakpuasan hati Pyongyang dengan bilangan dan jenis vaksin yang ditawarkan berkemungkinan menjadi punca bekalan ditolak.
“Vaksin yang ditawarkan kepada Korea Utara setakat ini kebanyakannya daripada AstraZeneca dan Sinovac.
“Apa yang Pyongyang mahukan adalah vaksin buatan Amerika Syarikat (AS) seperti Pfizer,” Pengarah dan Felo Penyelidik di Korea Institute for National Unification, Lee Wootae.
Ada juga yang percaya bahawa keengganan Pyongyang dipengaruhi terutamanya oleh pertimbangan politik.
“Penerimaan bekalan vaksin akan menyampaikan mesej seolah-olah Korea Utara mengatasi krisis perubatan dengan bantuan vaksin buatan AS.
“Ia sukar diterima oleh rejim Kim Jong-un, memandangkan sikap kritikalnya terhadap AS,” ujar Profesor di Universiti Kyungnam, Lim Eul Chul. – Agensi