KETUA kontinjen negara (CDM), Datuk Nur Azmi Ahmad menggesa barisan atlet, jurulatih serta pegawai ke temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei ini supaya mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk menghantar pulang mana-mana individu sekiranya didapati ada yang tidak mengendahkan atau melanggar peraturan di sana nanti.
Nur Azmi menjelaskan, beliau sudah menyampaikan perkara itu kepada setiap jurulatih dan pegawai pasukan supaya memantau serta menjaga pergerakan atlet masing-masing.
“Kita akan mengikut SOP yang ditetapkan oleh penganjur, tetapi untuk kontinjen sendiri, kita sudah maklumkan kepada semua atlet dan pengurus pasukan. Saya sudah berikan amaran kepada jurulatih dan pengurus supaya memantau atlet.
“Jika kita tidak benarkan atlet merayau, peraturan itu turut terpakai kepada pengurus dan jurulatih. Kita tidak mahu sesuatu yang boleh membawa penyakit kepada pasukan.
“Kita tidak akan buang masa (hantar pulang) kerana tidak mahu ia menjadi masalah di kemudian hari. Perkara ini saya sudah maklumkan kepada semua,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Bangi kelmarin.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sudah membuat perancangan untuk meletakkan mana-mana atlet sekiranya didapati positif Covid-19 di satu penempatan khas sepanjang sukan SEA Hanoi nanti.
“Kita merancang untuk membuat perkampungan atlet yang positif Covid-19 supaya mereka boleh berada di satu tempat. Itu sebabnya ISN (Institut Sukan Negara) kali ini mempunyai pasukan begitu besar.
“Jika ada atlet yang positif, saya atau Timbalan CDM (Afrita Afriany Nasril) akan menunggu mereka sehingga pulang ke tanah air. Kita nak pastikan tanggungjawab itu sentiasa dibawa semasa pergi ataupun pulang,” ujar Nur Azmi.