MANILA – Kerajaan Filipina mula melaksanakan program dos penggalak Covid-19 kedua bermula kelmarin bagi mengatasi isu penurunan tahap imuniti terhadap virus tersebut.
Menurut laporan laman berita Rappler, suntikan vaksin keempat secara keseluruhan itu akan diberi kepada golongan yang mempunyai sistem imuniti badan lemah berusia 18 tahun dan ke atas.
“Golongan berisiko tinggi ini boleh mula mendapatkan dos penggalak kedua seawal tiga bulan selepas menerima suntikan penggalak pertama,” kata Timbalan Setiausaha Kesihatan Filipina, Maria Rosario.
Pada taklimat akhbar sebelum ini, Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque III berkata, mereka yang memiliki imuniti lemah itu termasuk penerima pemindahan organ, pesakit kanser dan penghidap HIV/AIDS.
Filipina akan menyertai beberapa negara termasuk Australia, El Salvador, Jerman, Israel dan Britain yang telah mula melaksanakan program dos penggalak kedua buat penduduk mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, hampir 61 peratus daripada 110 juta penduduk Filipina telah divaksin, manakala seramai 13 juta orang menerima dos penggalak pertama, demikian menurut data kerajaan.
Negara itu merekodkan hampir 3.7 juta kes koronavirus dan lebih 600,000 kematian sekali gus antara paling buruk di rantau Asia Tenggara.
Bagaimanapun, bilangan jangkitan baharu menurun dengan mendadak dengan Filipina kini merekodkan purata 207 kes harian atau bersamaan hanya 1 peratus berbanding semasa kemuncak jangkitan Covid-19. – Agensi