fbpx

Dividen Bank Rakyat 15 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh (tiga dari kiri) dan Abd. Rani (tiga dari kanan) menunjukkan kadar dividen Bank Rakyat sebanyak 15 peratus di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar mengumumkan pembayaran dividen Bank Rakyat bagi tahun kewa­ngan berakhir 31 Disember 2021 adalah sebanyak 15 peratus, de­ngan jumlah pembayaran seba­nyak RM429.5 juta kepada 827,066 anggotanya.

Ia dua peratus lebih tinggi berbanding dividen sebanyak 13 peratus yang diumumkan untuk tahun kewangan berakhir 31 Di­sember 2020.

Noh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam ber­kata, pembayaran dividen akan mula dibuat mulai 25 April 2022.

“Bank Rakyat masih me­ngekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua digit untuk tempoh 23 tahun dan saya percaya pencapaian ini hasil daripada komitmen untuk merealisasikan mandat yang dipertanggungjawabkan bagi memperkasa ke­sejahteraan ekonomi anggota dan pelanggan.

“Bank Rakyat juga sentiasa prihatin terhadap keperluan anggotanya yang mana 30 peratus penerima individu terdiri daripada golongan B40, manakala 20 penerima anggota koperasi terdiri daripada golo­ngan B40,” jelasnya.

Noh menambah, Kumpulan Bank Rakyat turut meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntu­ngan sebelum cukai dan zakat kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi, berjumlah RM32.3 juta.

Selain itu, satu peratus daripada keuntungan, bersamaan RM16.15 juta disumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

“Jumlah sumbangan bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM48.45 juta,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd. Rani Lebai Jaafar berkata, tahun lalu, pihaknya merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.63 bilion serta keuntungan bersih seba­nyak RM1.86 bilion, berbanding RM1.44 bilion dan RM1.38 bilion masing-masing pada tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhan, Bank Rakyat terus menjadi bank koperasi paling menguntungkan, serta institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia dari segi keuntungan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI