MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola enggan melatah terlalu awal terhadap kecederaan yang dialami Kevin De Bruyne menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Real Madrid awal pagi esok.
Kecederaan kaki yang dialami De Bruyne ketika ini mungkin boleh menyebabkan pemain tengah City itu terlepas perlawanan pertama menentang Real di Stadium Etihad.
Situasi itu pastinya memeningkan kepala Guardiola untuk merencana percaturan terbaik dalam usaha membawa bekalan selesa ke Santiago Bernabeu bagi aksi timbal balik pada 5 Mei ini.
“Keadaan Kevin (De Bruyne) tidaklah serius tetapi dia seperti tidak selesa di pergelangan kakinya. Sebab itu saya ambil keputusan untuk keluarkannya.
“Buat masa ini saya cuma ada 14 atau 15 pemain yang benar-benar cergas untuk turun beraksi,” kata bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu.
Sekiranya De Bruyne boleh beraksi, namun Guardiola masih mempunyai masalah lain kerana beliau tidak dapat menurunkan pertahanan utama, Joao Cancelo yang menjalani hukuman satu penggantungan perlawanan.
Begitupun, jurulatih berusia 51 tahun itu tetap yakin pemain-pemainnya mampu mengatasi Real berdasarkan prestasi ditunjukkan ketika membelasah Watford 5-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
“Real adalah raja dalam kejohanan ini. Kami pula baru kali ketiga melangkah ke peringkat separuh akhir, jadi sudah tentu ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar.
“Saya percaya kami tidak mempunyai peluang jika bermain seperti menentang Atletico Madrid (suku akhir Liga Juara-Juara) sebelum ini. Kali ini kami sudah bersedia dan akan memberikan segala-galanya bertemu Real,” jelasnya.
City sudah tentu mengharapkan penyudah tajam daripada Gabriel Jesus yang meledak empat gol ke atas Watford, untuk merobek gawang Real awal pagi esok. – AGENSI