fbpx

Britain di ambang krisis makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah pasar raya di Kent mengehadkan jualan minyak masak bunga matahari yang boleh dibeli oleh seorang pelanggan. - PA/Gareth Fuller

LONDON – Britain bakal berdepan dengan krisis makanan yang dicetuskan oleh kekurangan bekalan dan lonjakan harga borong di tengah-tengah kebimbangan bahawa sistem catuan akan melangkaui sekadar minyak masak, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Buat masa ini, pasar raya-pasar raya utama di negara itu mengehadkan kuantiti minyak masak bunga matahari yang boleh dibeli pelanggan dengan sebahagian besarnya diimport dari Ukraine.

Kekurangan bekalan dalam produk makanan lain turut memberi kesan kepada pengguna dengan kenaikan harga barangan mula berlaku dalam rantaian makanan, seterusnya menjejaskan perbelanjaan isi rumah.

Ekoran situasi itu, para pemimpin persatuan petani memberi amaran kepada Setiausaha Alam Sekitar, George Eustice mengenai krisis tersebut dalam satu mesyuarat tergempar minggu lalu.

Profesor Emeritus dari City, Universiti London, Tim Lang berkata, catuan seperti yang dikenakan terhadap minyak masak bunga matahari akan ‘merebak’ kepada produk-produk lain tidak lama lagi.

“Peperangan di Ukraine semakin meruncing, sekali gus mengingatkan kita dan kerajaan bahawa kita tidak boleh menganggap rak-rak di pasar raya akan sentiasa penuh,” ujarnya.

Pasar raya di Britain seperti Tesco, Morrisons, Waitrose dan Iceland kini mengehadkan kuantiti minyak bunga matahari yang boleh dibeli oleh seorang pelanggan. Keadaan sama dikhuatiri akan turut berlaku kepada produk-produk lain, sekali gus mengurangkan pilihan produk di rak-rak jualan.

Ukraine dan Rusia kebiasaannya mengeksport berpuluh-puluh juta tan gandum dan bijirin lain, yang digunakan dalam penghasilan makanan serta makanan haiwan.

Kekurangan dalam bekalan bahan tersebut akan turut memberi kesan kepada harga produk-produk makanan lain seperti roti, pasta, ayam dan sosej.

“Kita melihat berlakunya ketidakstabilan dalam sistem makanan negara, justeru, kini tiba masanya untuk kerajaan mengambil langkah proaktif.

“Keputusan untuk membenarkan atau mengehadkan pembelian oleh pengguna bukan terletak pada pasar raya. Jadi, kerajaan perlu campur tangan,” tegas Lang.

Dalam pada itu, seorang pakar keselamatan makanan, Profesor Erik Millstone berkata, kegagalan pasar raya untuk membayar lebih kepada petani bagi menampung risiko kenaikan kos telah menyebabkan kekurangan bekalan.

“Gabungan kenaikan harga input bagi petani dan keazaman pasar raya untuk mengekalkan harga kompetitif berkemungkinan menghapuskan insentif untuk petani meningkatkan pengeluaran,” ujarnya.

Selain itu, makanan yang turut terjejas di Britain adalah ikan putih, di mana Rusia merupakan pembekal utama produk itu ke Eropah dan Britain.

Petani tanaman salad turut berdepan dengan situasi sukar apabila terpaksa mengurangkan pengeluaran disebabkan kos tenaga yang melambung tinggi untuk menyediakan haba.

Turut mencatatkan kenaikan adalah harga borong bagi mentega dan susu tepung skim, yang digunakan dalam makanan yang diproses dengan kenaikan 59 peratus setahun, kata Lembaga Pembangunan Pertanian dan Hortikultur. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI