fbpx

Achey bantu 600 mangsa banjir di Kemaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ACHEY turun padang menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

PETALING JAYA – Dengan rasa penuh prihatin terhadap mangsa banjir di Kemaman, Terengganu, pelawak dan juga penyanyi Achey menyantuni hampir 600 buah rumah yang terkesan.

Kesemua mangsa menjadi mangsa bencana banjir yang melanda negeri tersebut pada awal Mac lalu.

Projek yang mendapat kerjasama RS Megatravel Sdn. Bhd. (RS Megatravel) digerakkan kerana tidak mahu melihat penduduk di Kampung Bukit Mentok, Kemaman menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam suasana penuh hiba dan serba kekurangan.

Ibarat pepatah ‘berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’, Achey yang juga merupakan rakan niaga dan jurucakap RS Megatravel berkata, inisiatif dibuat bertujuan memberikan semula senyuman kepada mangsa banjir.

“Sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat mengukir sedikit senyuman kepada mangsa banjir yang kehilangan harta benda sekali gus meringankan beban yang ditanggung mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Achey atau nama lengkapnya Mohd. Nasir Hamzah turut berkongsi rasa teruja apabila berpeluang sama-sama turun padang di Kemaman dan bertemu dengan mangsa banjir yang masih terkesan.

“Kami faham beban yang terpaksa mereka tanggung dalam waktu sukar seperti ini, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan.

“Walaupun air banjir di kawasan Kampung Bukit Mentok sudah surut, tapi masih ramai yang memerlukan bantuan berikutan kawasan terbabit antara yang lambat untuk kembali pulih.

“Jadi kehadiran kami boleh dikatakan tepat kerana mereka menantikan bantuan daripada orang luar kerana sebelum ini kawasan terbabit tidak dibenarkan untuk masuk akibat keadaan yang belum pulih,” katanya.

Tambah Achey lagi, mereka berjaya mengumpulkan barangan berupa tilam, sejadah dan telekung untuk diagihkan kepada penduduk kampung terjejas.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan kami untuk membantu dan dapat memberikan agihan sebanyak 600 tilam, 300 sejadah, 300 pasang telekung dan beberapa barangan keperluan yang lain,” kata Achey.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan RS Megatravel Sdn. Bhd., Syamshul Aswad Jaafaar Siddik berkata, jumlah bantuan yang dihulurkan bernilai lebih RM50,000.

“Syukur kerana nilai ini dapat membantu hampir 600 rumah yang terjejas.

“Selain memberikan servis terbaik bagi perjalanan umrah tanpa kos tersembunyi semenjak ditubuhkan pada 2021, aktiviti sebegini juga sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosial (CSR) yang kami buat untuk kebajikan.

“Berpegang kepada nilai kemurahan hati, ketelusan dalam pengurusan dan perkhidmatan dan keprihatinan menyantuni para jemaah umrah serta haji, aktiviti seperti ini juga selari dengan misi dan objektif RS Megatravel.

“Kami juga gembira apabila Achey selaku rakan niaga dan jurucakap RS Megatravel sama-sama turun padang membantu mereka yang memerlukan.

“Selain memberi fokus terhadap bisnes kami iaitu pengurusan haji, umrah dan ziarah serta pelancongan Islamik patuh syariah, insya-Allah selepas ini akan ada lebih banyak lagi aktiviti CSR yang akan kami lakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI