fbpx

Sultan Selangor lancar al-Quran dan terjemahan Bahasa Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin (kiri) dan Tengku Permaisuri Norashikin (kanan) mencemar duli melawat ke galeri Kompleks Kesenian Islam Antarabangsa Selangor di Shah Alam. FOTO ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan al-Quran al-Karim dan terjemahan Bahasa Cina di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor di sini, hari ini.

Turut berkenan berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin kemudiannya turut meluangkan masa melihat galeri kompleks seni islam tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, penerbitan mushaf al-Quran itu adalah usahasama antara pihaknya bersama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).

Katanya, usaha itu bermula dengan Pelancaran Juzuk ‘Amma dan Surah-surah pilihan serta Terjemahannya dalam bahasa Cina dan pemasyhuran Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor oleh Sultan Sharafuddin pada 28 Mei 2016.

“Kelebihannya adalah mempunyai lebih 2,000 nota kaki bagi memberi penjelasan dan huraian maksud ayat.

“Penggunaan bahasa Cina dalam mushaf ini mudah difahami. Justeru, diharapkan naskhah ini boleh memberi daya tarikan untuk masyarakat Cina membaca, memahami serta mengamalkan ajaran al-Quran selain mewujudkan kecintaan dan jati diri bangsa,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Jelas beliau, bagi memudahkan pembaca, setiap kalimah yang merujuk kepada Allah SWT menggunakan warna merah, manakala yang merujuk kepada nabi Muhammad SAW menggunakan warna hijau.

Abdul Latiff turut menegaskan al-quran tersebut juga telah mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Bahagian Kawalan Dan Penerbitan Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri.

“Justeru, Yayasan Restu sedang berusaha mencari dana sebanyak RM4juta bagi mencetak sebanyak 50,000 naskhah mushaf al-Qur’an tersebut.

“Percetakan dilaksana secara bertahap bermula dengan cetakan sebanyak 5,000 naskhah. Manakala cetakan seterusnya dilaksanakan bergantung kepada dana yang diperolehi,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI