KOTA BHARU – Polis Kelantan akan mempertingkatkan penguatkuasaan trafik di empat lokasi di daerah ini yang menjadi tumpuan orang ramai menjelang sambutan Hari Raya Aifilfitri minggu depan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, empat lokasi tumpuan itu adalah Wakaf Che Yeh, Kubang Kerian, Lembah Sireh dan Pasar Siti Khadijah.
Menurutnya, sehubungan itu, seramai 250 pegawai dan anggota trafik akan ditempatkan di kawasan-kawasan tersebut sepanjang Ops Selamat untuk mengawal lalu lintas.
“Keempat-empat lokasi itu merupakan antara tumpuan orang ramai sehingga berlaku kesesakan terutamanya semasa musim perayaan.
“Lokasi-lokasi itu bukan sahaja dikunjungi perantau yang pulang ke Kelantan malah ia juga menjadi tumpuan rakyat yang menetap di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Iftar Perdana Polis Diraja Malaysia Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.
Dalam majlis itu, Pengurus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) Kelantan, Nik Mohd. Nurul Ihsan Salleh menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada IPK Kelantan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, lebih 200 unit kereta peronda polis termasuk unit rondaan bermotosikal dan penjenayah akan digunakan untuk rondaan 24 jam sepanjang Ops Selamat semasa musim perayaan tahun ini. – KOSMO! ONLINE.