PETALING JAYA – Perkongsian terbaharu penyanyi MK yang seolah-olah sedang menggambarkan bahawa hatinya kini sudah dimiliki seorang gadis istimewa yang dimuat naik dalam Instagram ternyata membuatkan ramai peminat wanitanya ‘gigit jari’.
Dalam beberapa keping gambar, anggota K-Clique atau nama lengkapnya Muhammad Hairi Amin Hamdan itu dilihat mendedahkan identiti teman wanitanya ketika duduk di satu lokasi disertakan dengan kapsyen romantis.
“Minta maaf atas semuanya sayang. Terima kasih sebab masih bersabar dengan saya. Saya sayang awak!” tulis MK.
Penyanyi yang kini bergelar pelakon itu juga turut berkongsi akaun Instagram milik teman wanitanya yang menggunakan nama @hajaarsitii.
Menjengah dalam ruangan komen, perkongsian ‘bersemut’ oleh MK telah menarik perhatian pengikutnya, termasuk rakan-rakan artis.
“Tung ah (untunglah),” komen penyanyi Sufian Suhaimi.
“Saya juga perlukan kekasih untuk lindungi saya,” ujar pengacara Sean Lee.
“Kenduri saya jaga katering,” usik penyanyi Zynakal.
Rata-rata peminat wanitanya pula tersentak bahkan ada yang kecewa dan mahu segera undur diri daripada terus menaruh perasaan terhadap hero drama The Hotel itu.
Terdapat juga beberapa komen berbaur kecewa yang diluahkan peminat perempuan selepas MK berkongsi gambar kekasih hatinya.
“Saya kecewa,” komen seorang peminatnya ringkas.
“Tidak mungkin!” ujar seorang lagi peminatnya.
“Assalamualaikum. Habis tu harapan saya macam mana? Hancur,” luah seorang netizen.
Untuk rekod, selama ini selebriti berusia 26 tahun itu tidak pernah berkongsi secara terperinci tentang teman wanitanya kepada umum.
Teka-teki mengenai siapa ‘buah hati’nya hampir terjawab tahun lalu apabila dia memeluk erat seorang wanita yang akhirnya didedahkan sebagai kakak kandungnya.
MK mempunyai alasan tersendiri mengapa perihal tersebut tidak diuar-uarkan kepada umum termasuk untuk menjaga hati banyak pihak. – KOSMO! ONLINE