fbpx

Jubin BMS bakal disenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kwee Peng (kanan) bersama Nicky optimis di cawangan terbaharu syarikat di Kota Damansara baru-baru ini.

KETIKA negara telah memasuki fasa peralihan endemik pada 1 April lalu, pelbagai perusahaan mula kembali mengaktifkan operasi bagi mengaut peluang pertumbuhan yang sebelum ini terpendam selama kira-kira dua tahun akibat Covid-19.

Antaranya peruncit jubin, kemasan batu dan kelengkapan sanitari, Jubin BMS (1990) Sdn. Bhd. (Jubin BMS) yang merancang membuka dua cawangan baharu tahun ini, menjadikan keseluruhan jumlah cawangannya sebanyak 16 buah di seluruh negara.

Langkah berkenaan diambil bagi membina kapasiti untuk memenuhi permintaan pasaran yang diunjurkan bakal melonjak dalam jangka masa terdekat.

Wartawan Kosmo! baru-baru ini berpeluang menemu bual Pengarah Urusan Jubin BMS, Ang Kwee Peng yang ditemani Ketua Pegawai Operasi, Nicky Ang di cawangan terbaharu mereka di Kota Damansara.

Antara yang dibincangkan adalah trend pasaran, kenaikan harga dan potensi pertumbuhan untuk pasaran jubin di negara ini.

KOSMO!: Bagaimana prestasi perniagaan syarikat ketika ini, adakah telah mencapai pemulihan seperti tempoh sebelum pandemik?

Ang Kwee Peng: Prestasi syarikat untuk tahun ini telah mencapai paras seperti sebelum pandemik. Permintaan untuk jubin boleh dikatakan kekal tinggi meskipun sewaktu pandemik, namun kami turut terjejas apabila perniagaan terpaksa ditutup sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Dengan bermulanya fasa peralihan endemik, kami me­nyasarkan permintaan akan terus meningkat dan ketika ini, sekitar 60 hingga 70 peratus daripada jualan kami disumbangkan segmen runcit, selebihnya adalah daripada projek-projek pembangunan baharu.

Kami kini lebih memfokuskan kepada sektor runcit kerana ia bukan sahaja kurang risiko, malah margin keuntungannya lebih tinggi, yang mana margin untuk segmen projek hanya sekitar satu per tiga berbanding jualan secara runcit.

Kenapa syarikat membuat keputusan membuka dua cawangan fizikal baharu tahun ini, ketika semakin banyak perniagaan beralih kepada platform online?

Untuk industri ini, kebanyakan pengguna lebih suka hadir sendiri ke kedai secara fizikal bagi melihat dan menyentuh sendiri jubin untuk dipasang di kediaman mereka.

Kami telah mencuba platform online sejak empat tahun lalu dan respons pengguna dalam talian agak perlahan. Satu lagi masalah e-dagang untuk perniagaan jubin ialah soal logistik kerana ia agak berat, jadi penghantaran oleh pihak ketiga agak sukar dilakukan.

Selain itu, kami juga sedang membina kapasiti untuk meme­nuhi permintaan pasaran, yang mana berdasarkan firma penyelidikan Ken Research, pasaran jubin Malaysia dijangka mencecah AS$5.7 bilion (RM24.65 bilion) pada 2021, dengan kadar pertumbuhan terkumpul tahunan empat peratus dari tahun 2020 hingga 2025.

Berdasarkan trend sekarang sejauh mana populariti penggunaan jubin untuk lantai, de­ngan pengenalan pelbagai alternatif baharu seperti kemasan vinyl yang lebih murah?

Bagi kami, jubin masih men­jadi pilihan pengguna dan pemaju­ untuk kemasan lantai kerana ia tidak hanya cantik, kemas dan mudah diselenggara, malah sesuai dalam pelbagai keadaan.

Lantai jenis vinyl meskipun lebih murah, ia tidak tahan lama dan tidak sesuai untuk semua jenis kegunaan. Ruang dapur, tandas dan balkoni misalnya le­bih sesuai menggunakan jubin.

Pelbagai jenis trend baharu akan sentiasa datang dan pergi, namun kami jangkakan penggunaan jubin akan terus popular pada masa kini dan akan datang.

 

Adakah harga jubin turut naik dengan trend peningkatan kos bahan mentah dan sejauh mana industri terjejas akibat kenaikan kos bahan binaan sekarang?

Memang ada peningkatan kos sekitar 10 hingga 15 peratus untuk jubin yang dihasilkan di sini dan yang diimport. Selain kenaikan kos logistik, ia turut dipengaruhi pe­ningkatan harga gas asli, yang merupakan antara komponen utama untuk menghasilkan jubin.

Bagi jubin yang berharga lebih rendah, kami cuba menyerap kenaikan kos untuk menyokong pasaran, namun tidak untuk yang berharga mahal. Jubin yang ditawarkan kami berharga sekitar RM1.30 sehingga RM10 sekaki persegi (0.093 meter persegi).

Tidak dinafikan mungkin ada pemaju hartanah yang menggunakan jubin yang lebih murah disebabkan kenaikan kos pembinaan, namun hal ini dilihat agak baik untuk industri ubah suai kediaman kerana menggalakkan pengguna yang mampu berbelanja lebih untuk jubin yang memenuhi selera mereka.

Apa sasaran Jubin BMS menuju ke hadapan?
Kami berhasrat untuk disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia sekitar dua tahun lagi. Ini memberi lebih alternatif buat syarikat untuk menjana dana bagi mengembangkan perniagaan berbanding penggunaan dana da­laman atau pinjaman bank sekarang.

Kami merupakan salah satu daripada tiga pemain utama dalam industri ini di Malaysia. Antara kelebihan syarikat adalah, kami tidak memiliki kilang penghasilan jubin, meskipun memiliki jenama sendiri.

Keadaan ini memberikan flek­sibiliti kepada syarikat untuk bertukar dan memenuhi sebarang permintaan bagi trend baharu. Dengan kata lain, kami mampu menawarkan produk terkini ke pasaran dengan cara yang paling pantas. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI