fbpx

JIPS siasat ASP wanita buat ‘live’ TikTok ketika serbuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video TikTok secara langsung yang dilakukan pegawai wanita tersebut yang dipercayai di sebuah pusat hiburan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengarahkan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) menyiasat video tular di media sosial berhubung tindakan seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang didakwa membuat secara langsung (live) sewaktu serbuan di sebuah pusat hiburan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pihak PDRM dalam proses meneliti berkenaan lokasi serbuan dan tarikh siaran langsung yang dilakukan pegawai kanan berkenaan.

“Saya sudah arahkan JIPS untuk mengambil tindakan tegas terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya untuk merakam kenyataan berhubung tindakannya membuat siaran secara langsung semasa operasi.

“Pada masa sama, kita juga mahu mengetahui motif dan tujuan sebenar beliau membuat rakaman secara langsung melalui akaun TikToknya itu,” ujarnya.

Tegas beliau, JIPS akan mengeluarkan satu arahan hari ini berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM terutama membabitkan aplikasi TikTok.

“JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar pegawai tersebut mempunyai motif merakam video berkenaan semata-mata mahu mengumpulkan pengikut di akaun TikTok miliknya,” jelasnya.

Terdahulu, video berdurasi seminit 38 saat tular di media sosial memaparkan seorang pegawai polis wanita berpangkat ASP membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan dipercayai di sebuah pusat hiburan bersama pegawai dan anggota polis lain.

Bagaimanapun video berkenaan mendapat kecaman orang ramai yang mempersoalkan perbuatan pegawai tersebut yang membuat secara langsung ketika bertugas seolah-olah mahu mengejar glamor dan populariti.

Difahamkan pada Ogos 2020, PDRM pernah mengeluarkan arahan melarang pegawai kanan dan pegawai rendahnya memuat naik perkongsian peribadi semasa berpakaian seragam di platform media sosial.

Dalam larangan berkenaan, Bukit Aman memandang serius tindakan pegawai dan anggotanya merakam, memuat naik video tarian dan lain-lain aksi semasa berpakaian seragam menerusi platform media sosial seperti Youtube, Whatsapp, TikTok dan aplikasi lain bagi tujuan untuk menarik perhatian dan mendapat tontonan yang tinggi oleh masyarakat dan netizen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI