MUNICH – Bayern Munich mencipta sejarah baharu bola sepak Eropah selepas berjaya merangkul kejuaraan Bundesliga buat kali ke-10 berturut-turut.
Ia menyaksikan Bayern muncul kelab paling berjaya di Eropah dengan memadam rekod sembilan kejuaraan liga berturut-turut dicipta Juventus pada 2020.
Kejayaan itu hadir selepas Bayern menewaskan musuh tradisi, Borussia Dortmund 3-1 dalam pertembungan Der Klassiker pada aksi Bundesliga di Allianz Arena awal pagi semalam.
Biarpun masih berbaki tiga perlawanan, namun kemenangan itu telah mengesahkan kejuaraan menjadi milik Bayern dengan kelebihan 12 mata ke atas Dortmund di tangga kedua.
Ketua jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann menghamburkan pujian tinggi kepada para pemainnya yang menampilkan permainan sempurna di hadapan penyokong sendiri.
“Kemenangan ini amat manis kerana ia berjaya dilakukan di laman sendiri ke atas musuh ketat (Dortmund) anda. Semua pemain dan penyokong berhak meraikan kejayaan bersejarah ini.
“Tahun ini tidak mudah. Itu sebab saya gembira apabila kami dinobatkan sebagai juara liga,” kata Nagelsmann yang akhirnya berjaya merasai kejuaraan Bundesliga pertama dalam karier kejurulatihannya.
Tiga gol Bayern dalam aksi itu dijaringkan oleh Serge Gnabry, Robert Lewandowski dan Jamal Musiala, manakala Emre Can menghadiahkan jaringan sagu hati buat Dortmund.
Menariknya, kejayaan itu turut menyaksikan bintang Bayern, Thomas Muller muncul pemain paling banyak memenangi gelaran Bundesliga dengan 11 kejuaraan dalam sejarah pertandingan itu. – AGENSI