PUTRAJAYA – “Sejak awal menyertai perkhidmatan awam, Allahyarham (Tan Sri Ali Hamsa) adalah cikgu saya,” kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Mohd. Zuki berkata, beliau sendiri pernah berkhidmat di bawah Allahyarham di beberapa kementerian dan agensi.
“Banyak ilmu yang dicurahkan kepada kami dan segala jasanya tidak dapat saya lupakan.
“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat negara dan perkhidmatan awam,” katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham Ali di Presint 10 di sini hari ini.
Katanya, Allahyarham adalah seorang kuat bekerja dan seorang yang bekerja dari hati.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri turut hadir ke kediaman Allahyarham untuk memberi penghormatan terakhir.
Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira 15 minit sebelum meninggalkan kediaman Allahyarham pada pukul 10.08 pagi.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Tuanku Zainal Abidin (MTMZA) pukul 10.25 pagi untuk solat jenazah dan diberi penghormatan terakhir.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20 di sini selepas solat zohor hari ini. – KOSMO! ONLINE