OSLO – Seorang wanita dari Afrika Selatan memecahkan Guinness World Records miliknya sendiri apabila berenang sejauh 90 meter di bawah lapisan ais, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Amber Fillary pertama kali mencipta rekod kategori tersebut dua tahun lalu di Oppsjo, Norway dengan berenang sejauh 70 meter di bawah lapisan ais.
Dia berjaya memecahkan rekodnya sendiri di Kongsberg, Norway.
Wanita itu berenang pada jarak 90 meter tanpa bantuan peralatan renang atau sut selaman pada 5 Mei lalu.
“Sejak usia 15 tahun, saya bertarung dengan masalah anoreksia, bulimia dan kemurungan. Saya menghabiskan usia awal 20-an di pusat rehabilitasi. Saya juga ketagih arak dan beberapa kali cuba membunuh diri.
“Namun, air memberi ketenangan kepada saya ketika saya bergelut dengan kehidupan ini,” kata wanita itu di laman webnya.
Fillary juga merupakan pemegang rekod dunia untuk berjalan paling lama di dalam air dengan sekali nafas. Wanita itu berjalan di dalam air sejauh 109.6 meter dalam pencapaian yang dilakukan di Dahab, Mesir.
Perenang itu berkata, dia sudah bersedia untuk percubaan memecah rekod terbaru itu selepas membiasakan badannya dengan kesejukan di Berlin. Fillary juga berlatih di tasik Norway di mana dia memecahkan rekod tersebut. – Agensi