fbpx

Ukraine minta dana RM2.5 trilion untuk bina semula negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah keluarga merenung ke arah blok pangsapuri yang musnah dibom askar Rusia di Kiev. - Sky News

KIEV – Perdana Menteri, Denys Shmyhal merayu negara-negara anggota Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) supaya menyalurkan bantuan kewangan kepada Ukraine, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Beliau berkata, Ukraine memerlukan dana sekurang-kurangnya AS$600 bilion (RM2.5 trilion)  untuk membina semula negara susulan pencerobohan oleh Russia.

Shmyhal menyatakan demikian semasa menghadiri mesyuarat peringkat menteri yang dianjurkan oleh IMF dan Bank Dunia di Washington ketika perang Russia-Ukraine menghampiri bulan ketiga.

Sejak Russia melancarkan pencerobohan yang dinamakan ‘operasi ketenteraan khas’  ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu, lebih 2,340 orang awam dilaporkan terbunuh dengan lima juta rakyat tempatan terpaksa menjadi pelarian di negara-negara jiran.

Peperangan itu juga  memusnahkan banyak bangunan di Ukraine, menyebabkan anggaran dana terbaharu yang dipohon Shmyhal Khamis lepas meningkat AS$50 bilion (RM216 bilion) berbanding permintaan awal pada pertengahan Mac lalu.

Semasa mesyuarat tersebut, Shmyhal turut memperincikan rancangan Rusia yang mahu memusnahkan Ukraine dan sektor ekonominya.

Katanya, bagi pelan jangka pendek, Kiev akan  memerlukan dana antara AS$4 bilion (RM17 bilion) hingga AS$5 bilion (RM21 bilion) sebulan selama enam bulan untuk kelangsungan hidup rakyat dan  membayar gaji kakitangan awam termasuk anggota tentera.

“Sekatan pelabuhan, serangan ke atas kilang dan  cubaan mengganggu pelaburan serta  memusnahkan bandar di Ukraine. Semua ini adalah sebahagian daripada matlamat Rusia dalam pencerobohannya,” kata Shymyhal dalam satu kenyataan.

Bank Dunia sebelum ini meramalkan bahawa ekonomi Ukraine berisiko menguncup sebanyak 45 peratus tahun ini, manakala senario lebih buruk menyaksikan pengeluaran kasar barangan domestik susut hingga 75 peratus.

Awal minggu ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dan Pengarah IMF, Kristalina Georgieva telah membincangkan usaha pembinaan semula selepas perang berakhir.

Shmyhal dalam masa sama,  menggesa anggota-anggota  IMF untuk menderma 10 peratus daripada hak pengeluaran khas (SDR) mereka kepada Ukraine sebagai jawapan kepada krisis ekonomi.

SPD ialah aset rizab antarabangsa yang diwujudkan IMF untuk menambah rizab negara anggotanya.

Jika setiap negara anggota memperuntukkan 10 peratus daripada pegangan mereka dalam rizab itu, ia akan memberi Kiev akses kepada dana berbilion-bilion dolar yang dimohon oleh Shymhal.

IMF pada Mac lalu meluluskan pengeluaran AS$1.4 bilion (RM6.05 bilion) buat Ukraine melalui Instrumen Pembiayaan Pantasnya.

Sementara itu, Georgieva bersetuju dengan anggaran Shmyhal bahawa Ukraine akan memerlukan bil AS$5 bilion sebulan dalam tempoh tiga bulan akan datang hanya untuk memastikan ekonominya kekal berfungsi. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI