fbpx

Tya Arifin tak sangka dapat berlakon dengan Izara Aishah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUAT pertama kali, Tya bergandingan dengan kakak ipar sendiri, Izara Aishah dalam drama pendek terbitan syarikat miliknya.

PETALING JAYA – Selepas lima tahun bergelar ipar duai, buat julung kalinya dua menantu penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza, Izara Aishah dan Tya Arifin bergandingan dalam sebuah drama pendek khas berjudul Bagaikan Raya.

Tya yang juga pengasas jenama Mutyara menjelaskan, sudah menjadi tradisi syarikatnya menghasilkan sebuah karya yang unik khas untuk kempen raya sempena sambutan Aidilfitri.

Tahun sebelum ini pihaknya bergandingan dengan pelakon terkenal, Fauziah Nawi menerusi drama Sesudu Kebahagiaan.

Bagaimanapun tahun ini dia lebih teruja kerana dapat bergandingan dengan pelakon popular Izara Aishah yang merupakan kakak iparnya sendiri.

“Saya teruja dan tidak sabar kerana ini kali pertama saya dan Izara bergandingan dalam sebuah drama.

“Saya agak gementar, sebelum ini sebagai satu keluarga, kami sudah biasa makan dan menghadiri acara bersama-sama cuma tidak sangka boleh berada satu ‘frame’ dengannya.

“Bagi saya Izara Aishah seorang pelakon yang hebat di Malaysia. Sangat senang bekerja dengannya, kalau tahu dari dahulu lebih baik kami berlakon bersama,” kongsi Tya.

Tambah Tya yang juga isteri kepada Asyraf Khalid, ini merupakan pengalaman pertamanya memegang watak yang berbeza iaitu menjadi orang Utara.

“Dalam drama Bagaikan Raya, ini kali pertama saya berlakon sebagai orang Utara. Sebelum ini tiada yang menawarkan watak sebegitu, biasanya saya hanya mendapat watak orang Indonesia,” ujar Tya.

Sementara itu, Izara yang juga isteri kepada Adib Khalid mengakui teruja bergandingan dalam sebuah naskhah raya bersama Tya.

Penggambaran dilakukan pada awal Ramadan lalu.

“Ini kali pertama kali saya berlakon dengan Tya. Alhamdulillah, tidak berasa janggal dan saya gembira mungkin sebab sudah biasa dengan dia. Semuanya berjalan dengan lancar.

“Sebenarnya, ini kali pertama juga saya melihat dia berlakon, dia seorang yang sangat teratur apabila bekerja,” tutur Izara yang akan menyambut raya di Kuala Lumpur pada tahun ini.

Drama pendek Bagaikan Raya diinspirasikan berdasarkan kisah duka pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia dan kehilangan insan tersayang.

Bagaikan Raya mengisahkan dua adik-beradik yang sangat rapat pulang ke kampung halaman selepas dua tahun tidak dapat menyambut raya bersama.

Suasana gembira bertukar pilu apabila mereka tersedar akan hakikat bahawa kedua ibu bapa mereka telah meninggal dunia akibat wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Tya dan Izara mengharapkan drama pendek Bagaikan Raya lakonan mereka sedikit sebanyak dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri peminat dan orang ramai.

Drama pendek Bagaikan Raya mula bersiaran pada 22 April lalu menerusi Instagram Tya Arifin dan Izara Aisyah serta saluran YouTube, The Tya’s Family. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI