SHAH ALAM – Kira-kira 71 penduduk kurang berkemampuan di Seksyen 2, di sini disantuni Surau Al-Ansor melalui sumbangan barangan keperluan dan wang bernilai RM100 bagi menyambut Aidilfitri nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Ansor, Datuk Zakaria Yusuf berkata, langkah itu selaras dalam memakmurkan dan menjaga kebajikan kariah agar sama-sama bergembira menyambut hari raya.
Katanya, setiap daripada mereka dibekalkan seguni beras, sebotol minyak masak, peket rempah ratus dan pelbagai lagi selain wang tunai RM100.
“Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban ketika menjalani ibadah puasa serta meraikan Aidilfitri dalam suasana lebih bermakna.
“Selain itu, empat penduduk bukan beragama Islam juga disantuni sebagai tanda kita mengambil berat terhadap mereka,” katanya ketika ditemui dalam program sumbangan Aidilfitri 2022 di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, di sini.
Sementara itu, seorang penerima, Azren Zaki, 46, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada surau tersebut yang secara langsung membantu pembelian kelengkapan isteri dan anak tunggalnya. -KOSMO!ONLINE