ISKANDAR PUTERI – Polis Johor memberi jaminan akan melakukan siasatan dengan teliti berhubung insiden kemalangan maut melibatkan tiga penunggang motosikal yang berlaku di Taman Kota Masai, Pasir Gudang di sini kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan itu akan dibuat bagi memberikan keadilan kepada mangsa-mangsa terlibat kerana ada ahli keluarga mendakwa kejadian itu tidak melibatkan perlumbaan haram.
“Kita akan siasat dengan teliti kerana ada ahli keluarga beritahu ianya bukan perlumbaan haram, namun laluan berkenaan memang lokasi ‘hot spot’ untuk lumba motor.
“Sebab jalan tersebut lurus dan tiada sebarang halangan, jadi kemungkinan ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk berlumba, apa pun kita akan siasat. Harapan saya adalah agar keluarga mangsa terlibat tabah dengan ujian ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri antara Senior Asisten Komisioner, Dzulkhairi Mukhtar dan Asisten Komisioner Rahmat Ariffin.
Sehubungan itu, Kamarul Zaman menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhemah dan tidak terlibat dengan sebarang gejala tidak sihat seperti perlumbaan haram.
“Apabila bersama rakan-rakan mungkin sedang seronok dapat memandu, tetapi haruslah diingatkan agar sentiasa berhemah dan tidak memandu terlalu berdekatan antara satu sama lain, kerana ia memungkinkan kemalangan berlaku,” ujarnya.
Kelmarin, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, tiga penunggang motosikal berusia antara 15 hingga 17 tahun maut dalam kemalangan setelah motosikal mereka bergesel antara satu sama lain. -KOSMO! ONLINE