fbpx

Polis nafi tidak beri rawatan seorang OKT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Polis menafikan dakwaan tular mengenai seorang individu yang tidak diberikan rawatan ketika berada dalam tahanan lokap atas kes penipuan, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, pihaknya melakukan semakan ke atas laporan sebuah portal berita mengenai perkara itu, kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Katanya, semakan mendapati individu itu ditahan bersama tiga suspek berhubung kes pembelian dan penjualan kad ATM kepada sindiket penipuan atas talian.

“Siasatan polis membawa kepada rampasan 37 kad ATM milik keldai akaun yang digunakan untuk dijual kepada sindiket tersebut.

“Individu itu yang juga Orang Kena Tahan (OKT) diberkas pada 17 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan direman selama empat hari,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Jelas Azman, ketika dalam tahanan reman itu, OKT didapati tiada mengadu demam atau sakit sebelum ditahan di lokap Shah Alam selama sehari.

“OKT kemudiannya dipindahkan ke lokap daerah Gombak bagi membantu siasatan beberapa kes sindiket penipuan. Laporan penipuan adalah di daerah Serdang, Shah Alam dan Gombak selain negeri-negeri lain,” ujarnya.

Kata beliau, OKT mengadu demam dan bimbang ia berkemungkinan demam denggi atau gejala Covid-19 semalam.

Justeru, polis Gombak telah menghantar individu itu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

“Hasil laporan doktor mendapati OKT mengalami demam biasa dan tiada gejala demam denggi, Covid-19 atau sakit serius. OKT turut diberikan ubat dan rawatan sewajarnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menafikan laporan portal berkenaan yang menyatakan OKT tidak diberikan rawatan semasa dalam tahanan lokap polis.

“Polis turut menegaskan bahawa terdapat bukti yang kukuh untuk menahan OKT bagi membantu siasatan kes penipuan. Laporan yang menyatakan polis membuat tahanan secara sewenang-wenangnya juga adalah tidak tepat,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI