KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara cantik Uyaina Arshad menyifatkan segala ujian yang diterimanya sebelum ini sebagai satu rezeki dari Allah buatnya.
Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 30, berkata, walaupun berat untuk ditanggungnya, tetapi harus berlapang dada menerima ketentuan tersebut.
“Alhamdulillah sekarang kesihatan saya makin pulih. Tapi sejujurnya, kalau ikutkan memang masih ada rasa sakit sampai sekarang.
“Nak terlalu bebas bergerak pun tak boleh sangat. Sebab sekarang masih dalam pemantauan doktor.
“Tapi alhamdulillah bayi dalam kandungan berada dalam keadaan sihat. Kena tebuk tiga lubang pada perut tu bukan satu benda yang normal dan biasa-biasa sakitnya,” katanya.
Uyaina ditemui Kosmo! Online pada majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2022 di Nexus, Bangsar South di sini kelmarin.
Tambah pengacara MeleTOP itu, buat masa ini, dia masih dalam proses rawatan untuk beberapa minggu akan datang dan terpaksa memadam hasrat untuk berpuasa penuh tahun ini.
“Buat masa sekarang memang saya masih dalam proses rawatan dan ambil ubat-ubatan seperti yang doktor sarankan.
“Cuma sedikit sedih apabila puasa tahun ini tak dapat nak berpuasa penuh disebabkan masalah kesihatan yang dialami.
“Masa minggu pertama, alhamdulillah dapat berpuasa penuh, tetapi lepas saja kena apendiks masa hari ke lapan, terus tak dapat puasa sepenuhnya sampai ke hari ini,” ujarnya.
Terdahulu pada 11 April lalu, pelakon drama Love Elsa itu menjalani pembedahan membuang apendiks selepas mengalami kesakitan teruk pada bahagian bawah perut sebelah kanan.
Selang beberapa hari selepas menjalani pembedahan apendiks, Uyaina yang sedang hamil tiga bulan sekali lagi diuji apabila doktor memaklumkan dia mengalami keradangan pada dinding rahim.
Terdahulu, sehari sebelum umat Islam berpuasa, Uyaina berkongsi berita gembira dan mengesahkan dirinya hamil anak sulung.
Untuk rekod, Uyaina dan Raja Syahiran yang juga merupakan penyanyi bernikah di Colony Star Boulevard di ibu negara pada 20 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE