fbpx

Noraniza Idris mencari saham akhirat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAHUN ini buat pertama kali Noraniza Idris akan beraya sebagai nenek.

RAMADAN tidak menyekat wanita yang diberi jolokan, Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, untuk aktif memperjuangkan seni.

Selain sibuk dengan agenda awal yang telah disusun, pelantun lagu Hatinya Tak Tahan itu bakal muncul dengan sebuah single baharu sentuhan komposer Luca Sickta dan Kimy Kimo.

Noraniza atau mesra disapa Kak Ani berkata, sepanjang Ramadan dia bersama pasukannya sibuk menyusun strategi promosi sebelum single baharunya menemui peminat.

“Kalau tiada halangan, saya akan mengadakan sebuah konsert menjelang hujung tahun nanti.

“Saya tidak berani untuk bercakap lebih sebab konsert yang dirancang ini telah dua tahun tertangguh. Keadaan pun masih belum stabil. Cuma tarikh dan lokasi yang dirancang sudah pun ditetapkan,” katanya.

Selain aktif dalam lapangan seni, Noraniza juga giat menggerakkan program keusahawanan sepanjang bulan Ramadan.

Ujar penyanyi berusia 54 tahun itu, dia turut memeriahkan beberapa festival Ramadan dan hari raya seperti di Putrajaya dan Pusat Dagangan Dunia (WTC) dengan mempromosikan produk terbaharunya iaitu maruku.

“Selain membawa masuk produk sendiri, saya juga akan membawa masuk produk usahawan lain untuk diketengahkan,” katanya.

Selepas raya nanti, Noraniza akan memulakan jelajah di enam buah Aeon terpilih di seluruh Malaysia untuk mempromosikan produk usahawan kecil bermula Jun sehingga September nanti.

“Insya-Allah saya akan bermula di Aeon Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan diikuti dengan lima Aeon terpilih yang lain,” jelasnya.

Tahun pertama menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai seorang nenek, penyanyi kelahiran Kluang, Johor itu juga mengakui berasa sangat teruja untuk bersama cucu perempuannya yang juga anak kepada cahaya mata sulungnya, Aliff Haiqal.

“Tahun ini merupakan tahun pertama menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai seorang nenek. Rasa teruja juga.

“Sebenarnya rasa sayang terhadap cucu tak sama macam sayang dengan anak sendiri.

“Jadi tahun ini saya akan beraya bersama anak dan juga cucu di sini (Semenyih) dan baru pulang ke kampung halaman di Kluang,” jelasnya.

Pada masa sama, Noraniza dan suami, Jeffri Hudi, seorang warganegara Singapura juga bercadang untuk beraya di seberang tambak tahun ini.

“Sebenarnya suami ada juga ajak untuk pulang ke Singapura sebab sudah lama tidak dapat pulang ke sana. Insya-Allah,” katanya.

Bercerita tentang Jeffri yang dilihat sentiasa ada di sisi, Noraniza tidak menafikan bahawa lelaki itu telah banyak berkorban untuknya selama ini.

Ujar Noraniza, suaminya pernah memberitahu akan membantu karier nyanyiannya sehingga dia benar-benar puas, dan sekarang masanya untuk pengorbanan si suami.

“Sampai masa nanti saya kena ikut dia yang sekarang kembali sibuk dengan agensi umrah,” jelas Noraniza.

Kata-kata yang terluncur dari bibir penyanyi itu seolah-olah membayangkan bahawa sudah tiba masa buat Noraniza menumpukan perhatian terhadap ibadah dan meninggalkan nyanyian.

Sebagai anak seni, bukan mudah sebenarnya untuk Noraniza meninggalkan bidang yang sudah sebati selama ini.

Namun pada masa sama, dia sememangnya sudah terdetik untuk berhenti menyanyi dan memberikan tumpuan kepada saham akhirat.

“Perasaan saya tak tentu arah. Timbul rasa sayang pada seni.

“Bukan mudah untuk saya capai usia 36 tahun dalam industri muzik.

“Rasanya saya boleh tinggalkan bidang seni ini perlahan-lahan. Tapi tak bolehlah nak berhenti terus. Mungkin saya akan jadi tenaga di sebalik tabir,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI