PETALING JAYA – Terlalu sibuk dengan urusan pindah rumah, aktres popular Nora Danish mengakui terkilan kerana terlepas peluang untuk khatam al-Quran pada Ramadan tahun ini.
Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, 39, memberitahu urusan pindah rumah menyebabkan jadual hariannya pada Ramadan kali ini agak kelam kabut sehingga tidak berkesempatan melakukan urusan ibadah yang sering dilakukan sebelum ini.
“Sebenarnya aktiviti Ramadan tahun ini agak kucar-kacir sedikit dan sebab itu saya jarang berkongsi tentang kehidupan peribadi dalam media sosial.
“Saya juga baru pindah ke kediaman baharu dan memang tak sempat nak kejar macam-macam benda. Jadi agak terkilan juga tak dapat khatam al-Quran tahun ini,” katanya.
Nora berkata demikian pada sidang media Puteri Reunion secara virtual baru-baru ini.
Dia bagaimanapun berharap agar peluang untuk khatam al-Quran dapat dilakukan pada Ramadan akan datang.
“Apapun saya berdoa agar dapat lebih aktif untuk melakukan ibadah termasuk menghabiskan bacaan al-Quran pada Ramadan akan datang,” ujar pelakon filem Bencinta itu.
Berkongsi tentang persiapan Hari Raya Aidilfitri, meskipun teruja untuk menyambut kedatangan lebaran, Nora hanya menyediakan segala kelengkapan secara sederhana.
“Tahun ini ramai yang akan beraya sakan memandangkan sudah dua tahun tidak berpeluang berkumpul bersama keluarga.
“Bagi saya pula, tiada persiapan besar-besaran, semuanya sederhana sahaja tetapi asalkan dapat bersaya bersama keluarga tercinta sudah cukup memadai.
“Ambil dan gunalah waktu berharga tersebut sebaik-baiknya untuk bersama orang tersayang,” ujarnya lagi.
Terdahulu, ibu kepada dua cahata mata itu berjaya khatam al-Quran selama dua tahun berturut-turut pada Ramadan 2020 dan 2021.
Sempena musim perayaan, Nora bakal muncul dengan sitkom Puteri Reunion pada hari raya pertama menerusi saluran TV3.
Selain Nora, Puteri Reunion turut membariskan pelakon asal sitkom Puteri iaitu Nina Fazurina, Kenchana Dewi, Intan Ladyana dan Beego. – KOSMO! ONLINE