PETALING JAYA – Lima tahun menjanda, penyanyi Mimi Fly mengakui sedang menjalin hubungan romantis dengan seorang lelaki kulit hitam atau negro.
Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham mendedahkan, hubungan istimewa antara mereka sudah mula terjalin sejak dua tahun lalu dan kini sedang dalam fasa mengenali diri masing-masing dengan lebih mendalam.
“Kami mula berkenalan ketika bertemu di satu destinasi percutian dan sejak itu, kami semakin rapat walaupun hubungan terpaksa diteruskan secara jarak jauh (LDR) sebab dia sekarang menetap di Amerika Syarikat.
“Dia merupakan seorang doktor pakar tulang belakang dan sangat memahami diri dan berfikiran terbuka. Dia tak pernah takut dengan bagaimana saya membawa diri di depan khalayak.
“Insya-Allah, kalau ada jodoh, jadilah. Dipendekkan cerita, waktu pertama kali jumpanya, saya macam terus terpaut hati dan energi yang sama turut lahir darinya,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis tayangan perdana program raya Awesome TV 2022 di ibu negara, baru-baru ini.
Tidak mahu terlalu memperincikan tentang hubungan yang masih lagi baharu, pelantun lagu Superfly itu cuma berharap agar dipertemukan jodoh dengan lelaki yang dapat menerima dirinya seadanya dan secara peribadi, dia dapat melihat masa depan tersebut bersama lelaki terbabit.
“Barangkali dia adalah kegembiraan yang saya cari selama ini. Dan sebagai seorang wanita, saya rasa semua orang layak bertemu jodoh yang dapat membawa kita maju ke hadapan dan memperbaiki apa kekurangan diri.
“Kalau boleh, saya nak hubungan kami diteruskan ke peringkat seterusnya kerana dia sendiri banyak memberi dokongan dan sokongan kepada saya untuk jadi manusia yang lebih baik.
“Ada orang tanya tak takut ke berkawan dengan orang kulit hitam dan jawapan saya, tidak langsung sebab saya rasa lelaki Melayu senang rasa intimidated (tercabar atau takut) dengan keterbukaan gaya hidup saya berdasarkan beberapa perhubungan yang telah saya lalui sebelum ini,” ujarnya.
Tambah Mimi lagi, dia berharap agar orang ramai tidak membuat andaian bukan-bukan namun memohon agar urusan jodohnya kali ini berhasil dengan baiknya hingga ke alam perkahwinan.
Terdahulu, Mimi, 36, pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Firdaus Hajar pada 16 Mei 2015 namun pasangan tersebut bercerai pada November 2017. – KOSMO! ONLINE