LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menjelaskan beliau tidak sanggup untuk melihat musuh tradisi, Everton tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
The Toffees berada dalam keadaan cukup bahaya ketika ini apabila sekadar mengutip 29 mata, hanya satu mata dibezakan dengan pasukan tangga ke-18, Burnley yang berada di zon penyingkiran.
Bagaimanapun, Everton masih berpeluang untuk menyelamatkan diri menjelang pertemuan dengan Liverpool dalam aksi derbi Merseyside yang dijadualkan berlangsung di Anfield malam ini.
“Sudah tentu saya akan rindukan Everton jika mereka tersingkir daripada saingan Liga Perdana musim depan kerana bandar Liverpool sudah sinonim dengan dua kelab ini sejak dari dulu lagi.
“Pertemuan kedua-dua pasukan sentiasa menjadi perbualan walaupun Everton berada di kedudukan sekarang. Perlawanan derbi ini sentiasa menjadi satu perlawanan yang sukar dan penting buat kedua-dua pasukan,” kata Klopp.
Meskipun bersimpati dengan nasib yang dialami Everton ketika ini, namun pengendali dari Jerman itu menggesa anak-anak buahnya agar mengutip tiga mata bagi meneruskan pemburuan takhta Liga Perdana.
“Bagi saya, setiap perlawanan menentang Everton menjadi sangat penting untuk kami kerana ia boleh menentukan kedudukan pasukan dalam liga. Tanpa kemenangan ke atas mereka, saya tidak tahu di mana kedudukan kami sekarang dan kali ini kami perlu sekali lagi meraih kemenangan untuk pasukan ini,” ujarnya. – AGENSI