KUALA NERANG – Seorang kanak-kanak lelaki melecur pada muka dan dada selepas meriam karbaid buatan sendiri meletup dalam kejadian di Kampung Ulu, Padang Sanai dekat sini pada 13 April lalu.
Kejadian kira-kira pukul 6.55 petang itu berlaku ketika mangsa yang berusia 12 tahun memasukkan karbaid dan air ke dalam paip polivinil klorida (PVC) untuk melihat tindak balas bahan bakar itu.
Menurut kanak-kanak itu, kejadian berlaku di hadapan rumahnya selepas dia memasukkan bahan tersebut ke dalam sebatang paip selama 30 minit.
“Selepas saya masukkan bahan itu terdengar seperti tindak balas gas di dalam paip.
“Saya kemudian menyalakan pemetik api untuk melihat apa yang berlaku di dalam paip tersebut sebelum bahan api itu terus meletup,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE