MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memberi penghormatan kepada penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri sebagai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam yang akan membuka tirainya secara rasmi pada 12 Mei nanti.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemilihan itu dibuat selepas menilai Dhabitah selaku ikon sukan negara yang berjiwa muda bagi temasya sukan edisi ke-31 itu.
Norza mengumumkan perkara itu selepas melancarkan pakaian khas kontinjen negara dengan mengekalkan elemen belang harimau sebagai pembakar semangat kepada 589 atlet negara ke Sukan SEA nanti.
“MOM telah melantik Dhabitah iaitu atlet daripada sukan terjun sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) kali ke-31 di Vietnam.
“Kita berasakan dia sebagai atlet muda yang telah meraih pencapaian sangat memberangsangkan di Sukan Olimpik (Tokyo 2020). Jadi, seharusnya atlet lain melihat dia sebagai ikon kepada kontinjen kita.
“Dia juga memiliki personaliti yang mudah didekati dan peramah. Saya yakin dan percaya ia melambangkan semangat kontinjen walaupun kita berbekalkan corak harimau tetapi memiliki sifat rendah diri dan peramah dalam menghadapi Sukan SEA di Hanoi ini,” katanya.
Pastinya pengumuman itu melonjakkan semangat Dhabitah yang memegang misi untuk memburu dua pingat emas buat kontinjen negara di Hanoi nanti menerusi acara 1 meter (m) papan anjal individu dan 10m platform seirama.
“Pertama sekali saya berterima kasih kepada MOM yang memilih saya untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia di Sukan Sea Hanoi.
“Kepada anda di luar sana, berilah sokongan kepada atlet negara dan buat rakan atlet yang lain, semoga maju jaya,” kata Dhabitah yang meraih tempat keempat 3m papan anjal individu di Sukan Olimpik Tokyo 2020.