LIPIS – Hasrat seorang remaja perempuan, Nuraisya Sofiea Sahdan, 14, untuk menggayakan cincin besi pada Aidilfitri terpaksa dilupakan apabila aksesori itu tersangkut dan sukar ditanggalkan daripada jari manis tangan kanannya.
Kejadian itu menyebabkan jarinya mula membengkak menyebabkan pelajar yang tinggal di asrama sebuah sekolah menengah di sini itu dibawa gurunya ke Balai Bomba Kuala Lipis malam semalam.
Ketua Balai Bomba Lipis, Haslizan Ramli berkata, setelah memaklumkan kepada gurunya mengenai cincin besinya sukar ditanggal pada pukul 8 malam semalam, pelajar berkenaan dibawa ke balai bomba untuk meminta bantuan menanggalkan cincin berkenaan.
“Jari mangsa membengkak kesan daripada cincin besi yang sukar ditanggalkan itu berikutan saiz jarinya membesar.
“Anggota bomba berjaya mengeluarkan cincin dalam tempoh kira-kira 20 minit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kerja-kerja menanggalkan cincin dengan peralatan khas dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan jari tangan mangsa berkenaan.
Sementara itu, Nuraisya Sofiea berkata, dia mengenakan cincin besi itu sebagai aksesori untuk dipakai sehingga hari raya tidak lama lagi.
“Pada awal pemakaiannya, cincin besi ini boleh ditanggalkan, namun lama-kelamaan sukar ditarik keluar (ditanggal) menyebabkan pergelangan jari mula membengkak dan sakit,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE