LONDON – Teka-teki mengenai masa depan pelumba Sepanyol, Carlos Sainz dalam saingan Formula Satu (F1) akhirnya terlerai selepas Ferrari telah melanjutkan kontrak sehingga musim 2024.
Berita baik itu pastinya memberi semangat kepada pelumba berusia 27 tahun itu untuk melakukan aksi terbaik menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Emilia Romagna malam ini.
Sainz tampil dengan aksi kompetitif pada musim lalu apabila berjaya meraih empat podium pada debut bersama skuad berpangkalan di Maranello, Itali tersebut.
Meskipun prestasinya pada tahun ini belum membuatkan Ferrari gembira, namun pasukan itu tetap meletakkan kepercayaan tinggi kepada Sainz untuk menjadi rakan sepasukan Charles Leclerc dalam memburu kemenangan musim ini.
“Saya sangat gembira kerana akhirnya berjaya memperbaharui kontrak bersama pasukan Scuderia Ferrari.
“Saya selalu mengatakan bahawa tidak ada pasukan F1 yang lebih baik selain Ferrari. Saya telah bersama Ferrari lebih setahun dan ini adalah impian saya sejak menyertai perlumbaan F1.
“Musim pertama saya di Maranello sangat positif dan pasukan memberi kerjasama dengan cukup baik untuk memastikan kami berada di landasan yang tepat memburu kejayaan dalam saingan musim ini.
“Kini saya lebih bersemangat dan tidak sabar untuk terus mengutip kejayaan bersama Ferrari. Jelas, F1-75 kini antara jentera terbaik dan saya tekad untuk mencari kemenangan,” katanya. – AGENSI