PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan dua buah bot yang dinaiki 12 nelayan Vietnam termasuk dua tekong ketika mereka berada dalam keadaan mabuk semasa menangkap ikan di lokasi 86.3 kilometer (km) dan 84.7 km dari Kuala Tok Bali di sini kelmarin.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, kedua-dua bot yang mencuri hasil laut negara menggunakan kaedah tunda ganding dikesan berada di perairan negeri ini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 1.10 pagi.
Menurutnya, kedua-dua bot nelayan asing cuba itu cuba meloloskan diri, namun bot pertama dinaiki mereka berjaya ditahan kira-kira pukul 1 pagi manakala bot kedua pula 29 minit kemudian.
“Pemeriksaan pada bot pertama mendapati sebahagian daripada 10 orang nelayan asing itu berada dalam keadaan mabuk dipercayai akibat minum arak sehingga menyebabkan keadaan sukar dikawal.
“Bot kedua pula dinaiki oleh seorang tekong dan seorang nelayan turut ditahan. Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 62 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujar beliau, pemeriksaan mendapati kedua-dua tekong bot gagal mempamerkan dokumen yang sah untuk berada dan menangkap ikan di perairan negara mengikut prosedur perundangan.
Menurutnya, semua nelayan termasuk tekong terbabit juga tiada sebarang dokumen pengenalan diri semasa ditahan.
“APMM merampas peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan ikan kira-kira 500 kilogram dan bekalan diesel 1,100 liter dengan jumlah keseluruhan RM2 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE