fbpx

21 nelayan Vietnam ditahan curi hasil laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
APMM menahan 21 nelayan Vietnam selepas disyaki menceroboh dan mencuri hasil laut di Kuala Mersing, Mersing kelmarin.

MERSING – Seramai 21 nelayan asing yang menaiki dua buah bot Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing selepas disyaki menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 10 pagi di Kuala Mersing.

Katanya, kedua-dua bot telah ditahan oleh aset Maritim Malaysia dalam satu rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Khas Pagar Laut dan Op Khas Kuda Laut di kedudukan lebih kurang 62 batu nautika timur laut dari Kuala Mersing.

“Pemeriksaan ke atas 21 kru termasuk tekong kedua-dua bot, warga Vietnam berumur lingkungan 16 hingga 62 tahun mendapati mereka gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.

“Kesemua kru itu ditahan dan dibawa masuk ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.

“Kita juga merampas dua bot berserta peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dianggarkan 6,000 kilogram dan bekalan diesel lebih kurang 5,500 liter yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI