fbpx

‘Vibe’ Adele, identiti Suki Low dalam Nelangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LANTUNAN vokal Suki dalam Nelangsa sarat emosi sekali gus mencipta identiti sendiri sebagai penyanyi berbakat.

PEMENANG tempat ketiga program realiti, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Suki Low atau nama sebenarnya, Low Sook Yee muncul dengan single terbaharu selepas tamat program berkenaan yang diberi judul Nelangsa.

Sepertimana perjalanan cemerlangnya dalam GV8, Suki terus membuktikan menerusi peluncuran single berkenaan bahawa dirinya benar-benar perlu diangkat sebagai prospek vokalis wanita hebat tanah air.

Dia mempunyai peluang itu selepas menjadi juara One In A Million sekitar 16 tahun lalu, cuma barangkali, disebabkan kekangan peribadi seperti berkeluarga dan kurang pendedahan untuk menonjol, bintangnya agak sedikit malap.

Nelangsa yang bermaksud sedih atau kesedihan ciptaan Farouk dan SENNA terkandung kualiti sebuah karya yang mempunyai nilai hebat dan tersendiri dari segi komposisi muzik serta nukilan lirik.

Menyentuh dua aspek penting dalam pembikinan sesebuah karya, memang tidak dinafikan bahawa Nelangsa terdengar sangat mahal sehinggakan ketika mendengar lagu tersebut, sudah terbayang kelibat Suki mendendangkannya di pentas-pentas besar.

Permainan atau iringan orkestra dalam lagu tersebut mengingatkan kualiti yang termuat dalam lagu-lagu balada mega dendangan Adele seperti Skyfall dan Sam Smith (Writing’s On The Wall).

Adele, orkestra

Buat penulis secara peribadi, nota-nota awal lahir dari kotak suara Suki pada bibit sulung karya terbabit sangat mengingatkan kepada gaya dan kemerduan listrik vokal Adele dalam Skyfall.

Itu bukan satu kesalahan dan membuktikan bahawa Suki sememangnya seorang vokalis yang sangat komited dan bersungguh-sungguh.

Vokal penyanyi itu semakin hari, semakin menunjukkan kematangan. Kalau ingin dibandingkan pada awal kemunculan dalam industri 16 tahun lalu, memang sudah banyak perbezaan dan kemajuan dalam aspek berkenaan yang ditonjolkan.

Jangkaan penulis bahawa Suki sekadar penyanyi yang mempunyai julat atau gaya vokal ala Avril Lavigne ternyata meleset apabila dia memecah kepompong seorang penyanyi atau vokalis yang sangat serius melontarkan suaranya. Itu terbukti ketika penyertaannya dalam GV8 dan sekarang lebih jelas dengan peluncuran Nelangsa.

Merdu, serius

Bukan kemerduan vokal sahaja, Suki juga kian matang bercambah menjadi penyanyi yang sarat dengan emosi dan dari segi kejelasan (clarity) melontarkan vokal sangat mempunyai identiti tersendiri biarpun dirinya bukanlah berbangsa Melayu.

Sebenarnya, sudah terbayang lagu Nelangsa melangkah ke pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu edisi akan datang. Cuma untuk perihal itu menjadi realiti, sokongan peminat sangat-sangat diperlukan agar bintang wanita itu tidak kembali malap seperti sebelum ini.

Untuk Suki, teruskan berkarya dan jangan pernah punah harapan kerana sesungguhnya, bakat nyanyian dan muzik yang tersemat dalam diri anda sememangnya masih berstatus satu dalam sejuta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI